Sejarah SMK Tengku Lela Segara

Diatas permintaan ramai, saya memetik sejarah ringkas sekolah dari majalah sekolah untuk tatapan umum.

sebarang cadangan dan info untuk dikongsi bersama, sila emailkan kepada saya smktls@yahoo.com.my

SEJARAH RINGKAS SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN MARANG


Sekolah Menengah Kebangsaan Marang telah ditubuhkan pada 1 Januari 1966 secara menumpang bilik di Sekolah Kebangsaan Seberang Marang dengan bilangan pelajar seramai 123 orang. Pada peringkat awal penubuhan sehingga 21 Mei 1997 nama sekolah ini ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Marang. Mulai 1 Jun 1997 dengan rasminya nama SMK Marang ditukar kepada nama SMK Tengku Lela Segara. Tuan Sheikh Mohd bin Ali berkelulusan Maktab Perguruan Brinsford telah bertugas selaku Guru Besar yang pertama di sekolah ini sehingga penggal kedua tahun 1966, kemudian diganti oleh Encik Adam bin Taib.
Pada peringkat awal, sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Aneka Jurusan kerana bermulanya mata pelajaran pilihan utama iaitu Seni Perusahaan dan Seni Rumahtangga. Pada masa itu terdapat 6 orang guru dan 2 orang kakitangan sokongan. Seramai 123 orang pelajar mengikuti mata pelajaran pilihan utama tersebut
Sekolah ini mempunyai bangunan sendiri yang telah siap pembinaannya pada Jun 1996 dan telah dibuka dengan rasminya pada tahun 1968 oleh Yang Berhormat Menteri Pelajaran , Encik Mohd Khir Johari . Bangunan baru ini terdiri daripada dua blok bilik darjah , sebuah kantin dan empat buah rumah guru .
Pada bulan Mac, 1996 sekolah ini telah menubuhkan Ahli Jawatankuasa Jemaah Pengurus dan Pengerusi pertamanya ialah Encik Omar Khalid ADO Marang , ketika itu . Pada akhir tahun 1970 murid – murid di sekolah ini telah menduduki Peperiksaan SPM yang pertama .

Dalam 1973 , bilangan murid – murid telah meningkat kepada 736 , oleh itu keperluan bilik darjah dan padang menjadi mustahak .Padang sekolah telah siap pada tahun 1974 dan bangunan tambahan telah digunakan pada tahun 1976. Bangunan- bangunan tambahan ini mengandungi dua buah bilik makmal sains, perpustakaan, tiga buah bilik darjah serta dua buah bengkel seni perusahaan .

Dalam tahun 1978 , Kelas Sains Tulen ( Sukatan Pelajaran Malaysia ) telah dimulakan di sekolah ini . Sehingga ini jumlah murid di sekolah ini ialah 1337 orang dalam 34 darjah . Pada tahun 1982 sekolah ini telah memulakan kelas Perdagangan sesuai dengan permintaan masa kini .

Pada tahun 1989 blok D,E, dan F telah dibina untuk menampung pertambahan pelajar , terutamanya pelajar tingkatan enam yang bermula pada tahun tersebut . Bilangan pelajar terus meningkat dari semasa ke semasa . Kini sekolah SMKM telah dinaikkan ke Gred A pada 1 Januari 1992  kerana bilangan pelajarnya telah melebihi 1500 orang . Sekolah SMKM telah mencapai kejayaan demi kejayaan dalam bidang kurikulum mahupun kokurikulum di peringkat daerah , negeri dan juga peringkat kebangsaan .

Nama sekolah ( SMKM ) telah dicadangkan kepada nama baru iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Lela Segara ( SMKTLS ) . Nama ‘Tengku Lela Segara’ adalah nama gelaran kurniaan daripada DYMM Sultan Terengganu (Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah Ibni Sultan Zainal Abidin) kepada Pegawai Daerah Marang iaitu Allahyarhan YM Tengku Hassan bin Tengku Ali. Beliau bertugas sebagai pegawai Daerah Marang pada tahun 1960-1963. Sebagai Pegawai daerah yang bervisi jauh, beliau amat prihatin terhadap pendidikan. Beliau telah berusaha gigih untuk memastikan Daerah Marang disediakan peluang pendidikan yang cukup bagi masyarakatnya. Memandangkan Daerah Marang ketiadaan Sekolah Menengah, YM Tengku Lela Segara telah berusaha untuk mendapatkan sebuah sekolah menengah di daerah ini. Perjuangan beliau akhirnya menghasilkan SMK Marang. Justeru, sememangnya sesuai sekolah Menengah yang pertama di Daerah Marang ini diberikan gelaran Pegawai Daerah Marang tersebut SMK Tengku Lela Segara. Pertukaran nama ini berlaku pada zaman Pn. Hjh. Ainun Jamilah bt. Mohd Ali menjadi pengetua (1994 - 1997).

Mulai tahun 2002, akibat pertambahan pelajar yang terus meningkat, tiga blok bangunan baru telah dibina iaitu Blok G, H dan I dia atas tapak padang sedia ada. Akibatnya SMKTLS telah ketiadaan padang. Bersama-sama dengan pembinaan tiga blok baru itu juga dibina dewan baru bagi menggantikan dewan terbuka yang dibina dengan kerjasama PIBG itu. Bagi menggantikan padang yang dijadikan tapak bangunan baru Blok F, padang gantian telah dibina di kawasan lembah (tapak Asrama Harian sekarang).
Permintaan untuk tinggal di asrama terus meningkat dari tahun ke tahun menyebabkan kerajaan memutuskan untuk membina asrama harian. Pada tahun 2002, Asrama Harian mula dibina di atas tapak padang bola yang baru. Apabila Blok-blok G, H dan I siap sepenuhnya pada tahun 2004 maka Asrama Desa ditutup. Ketiadaan padang yang agak lama (2002-2010) menjadi isu. Hasil desakan dan perjuangan PIBG, maka pada tahun 2011 padang bola yang baru mula dibina dan siap pada tahun 2012.

Mulai tahun 2005, Kerajaan Negeri Negeri Terengganu memperkenalkan sekolah Imtiaz, Elit dan Premier. SMK Tengku Lela Segara telah dipilih sebagai salah satu Sekolah Premier di daerah Marang selain SMK Bukit Sawa. Pelajar kelas Premier tingkatan 1 diambil daripada calon UPSR yang memperolehi keputusan sekurang-kurangnya 4A1B. Sehingga sekarang (2013) Kelas Premier berjumlah 15 kelas (Tg.1 - Tg.5) berbanding 54 kelas semuanya.

Pada tahun 2006 makmal komputer telah disiapkan dan mula beroperasi tahun 2007. Apabila surau sekolah (yang dibina dengan kerjasama PIBG) diisytharkan tidak selamat digunakan, maka mulai 2010 surau baru mula diusahakan pembinaannya. Sehingga sekarang usaha-usaha membina surau baru masih dalam proses mengumpul dana.

Semenjak tahun 1966, hingga sekarang seramai 19 orang Pengetua telah berkhidmat di sekolah ini .



SENARAI NAMA PENGETUA-PENGETUA SMKTLS (1966-2013)

Bil         Nama                           Tahun
1 Tuan Sheikh Mohamad bin Ali 1966
2 Encik Adam bin Taib 1966 – 1967
3 Encik Razak bin Akil 1967 – 1969
4 Encik Shaari bin Hassan 1970 – 1971
5 Encik Othman bin Ismail 1971 – 1972
6 Encik Mustaffa bin Ali 1973 – 1974
7 Encik Mansor bin Ibrahim ( Memangku ) 1974 – 1975
8 YM Raja Alias bin Raja Salim 1975 – 1982
9 Encik Abd Razak bin Ramli 1982 – 1988
10 Encik Abd Rahman bin Ismail 1988 – 1989
11 Puan Hajjah Timah bt Hamzah ( Memangku ) Ogos1989 – Dis1989
12 Encik Mohd Hussien Wan Chek 1 Jan 1990 – 15 Okt 1992
13 Puan Hajjah Ainun Jamilah bt Mohd Ali 16 Okt 1992 – 15 Feb 2003
14 Tuan Haji Mohd Hairon bin Yasar 16 Feb 1999 – 15 Feb 2003
15 Encik Razali bin Daud 1 Apr 2003 – 3 Nov 2003
16 Puan Hajjah Esah bt Abdullah 1 Jan 2004 – 1 Jun 2005
17 Puan Hajjah Ghaliah bt Bidin 1 Jun 2005 – 8 Jul 2006
18 Puan Hajjah Zainun bt Mohd 9 Jul 2006 – 30 Des 2006
19 En. Mukhtar bin A. Ghani 1 Jan 2007 - 23 Julai 2014

Comments

Unknown said…
Bagaimana nak mohon masuk tingkatan 1 sekolah ini yg bukan di bawah kelas aliran agama (sekolah kawalan)? Anak saya dari sekolah kebangsaan puteri seremban. Bertukar sekejap ke dungun menumpang upsr di sekolah kebangsaan sura dan sekarang berada di sekolah kebangsaan bukit jejulong. Percubaan upsr 5A 1B. Saya penjawat awam yt diarahkan bertugas ke kuala terengganu dan tinggal di kuarters ilp marang, bukit parit. Terima kasih atas jawapan.
Unknown said…
Bagaimana nak mohon masuk tingkatan 1 sekolah ini yg bukan di bawah kelas aliran agama (sekolah kawalan)? Anak saya dari sekolah kebangsaan puteri seremban. Bertukar sekejap ke dungun menumpang upsr di sekolah kebangsaan sura dan sekarang berada di sekolah kebangsaan bukit jejulong. Percubaan upsr 5A 1B. Saya penjawat awam yt diarahkan bertugas ke kuala terengganu dan tinggal di kuarters ilp marang, bukit parit. Terima kasih atas jawapan.