Anak pembuat bot dapat 5 prinsipal (Petikan dari akhbar Utusan Malaysia





Hadawiyah Mohammad bersama ibunya, Rakiah Mamat gembira dengan keputusan pelajar terbaik STPM Terengganu, di Kampung Seberang Marang, semalam.

KUALA TERENGGANU 25 Feb. - Walaupun kehidupannya tidak semewah pelajar lain, namun ia tidak menghalang Hadawiyah Mohammad, 20, cemerlang dalam peperiksaan.
Anak kepada pembuat bot, Mohamad Awang, 60, yang berasal dari Seberang Marang dekat sini, diumumkan sebagai pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) peringkat negeri Terengganu hari ini.
Menurut Hadawiyah, kejayaan itu merupakan hadiah paling bermakna buat ibu dan bapanya.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Lela Segara, Marang itu langsung tidak menyangka akan mendapat lima prinsipal dengan Pencapaian Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.
"Sepanjang hidup, inilah kali pertama saya dapat memberikan hadiah paling bermakna kepada emak dan ayah," katanya ketika ditemui di sekolahnya di sini hari ini.
Anak kesembilan daripada 11 adik-beradik ini, memperolehi keputusan A dalam kesemua mata pelajaran iaitu Pengajian Am, Bahasa Melayu, Geografi, Ekonomi dan Sains Sukan.
Tambahnya, kejayaannya turut didorong dengan bantuan guru-guru sekolah selain minatnya yang gemar mengulang kaji secara berseorangan.
"Saya belajar bersungguh-sungguh demi keluarga selain memberi contoh yang baik kepada adik-beradik yang lain.
"Dengan keputusan cemerlang ini saya harap dapat menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan memperolehi pekerjaan yang baik bagi membalas segala pengorbanan emak dan ayah," kata Hadawiyah yang bercadang untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya

Petikan dari Harian Metro

Comments

Unknown said…
sangat bangga dgn smk tgku lela segara! proud to be one of lelarian ;) baru je tgk lam surat kabor metro td