MAJLIS WATIKAH PELANTIKAN PENGAWAS 2010


SMKTLS AHAD 28 FEB. 2010
PENGETUA En. Mukhtar A. Ghani menegaskan bahawa pelantikan sebagai Pengawas Sekolah Pustakawan, Pengawas Koperasi, Ketua Tingkatan, dan Penolong Ketua Tingkatan adalah sangat besar ertinya. Pelajar-pelajar yang dilantik ini akan membantu pihak pengurusan sekolah dan guru-guru dalam memastikan segala peraturan dan aktiviti-aktiviti sekolah berjalan dengan lancar. Pelantikan ini juga diharapkan akan menjadi latihan dan pengalaman yang berguna kepada pelajar sebagai persedian menjadi pemimpin pada masa hadapan.
Semasa menyampaikan ucapan dalam Majlis Watikah Pelantikan 2010 yang berlangsung di Dewan Mutiara Budi SMKTLS itu, Tuan Pengetua mengingatkan pelajar bahawa setiap orang perlu memimpin diri sendiri terlebih dahulu agar kita tidak dipimpin oleh hawa nafsu yang akan merosakkan diri. Pelajar juga perlu melatih diri agar berupaya dalam mematuhi segala peraturan dan arahan-arahan yang termaktub dalam disiplin sekolah. Menurut Tuan Pengetua lagi, pelantikan dibuat agar peraturan-peraturan yang termaktub dapat dikuatkuasakan sepenuhnya kerana realitinya jelas terbukti bahawa kecemerlangan akademik sangat berkait rapat dengan kekuatan disiplin.
Pengetua juga mengingatkan pelajar yang dilantik agar sentiasa bertanggungjawab, berdisiplin, amanah, ikhlas, dan menunjukkan contoh yang baik kepada pelajar-pelajar lain. Pelajar yang dilantik juga harus bekerjasama dalam segala tindakan agar segala aktiviti berjalan dengan lancar dan berkesan. Pelantikan tersebut merupakan tanggungjawab yang perlu dipikul dengan sebaik-baiknya.
Majlis Watikah Pelantikan tersebut telah disempurnakan oleh ASP Mohd. Zohan b. Seman, Timbalan Ketua Polis Daerah Marang , mewakili Ketua Polis Daerah Marang. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Tuan Haji Ariffin Embong, YDP PIBG Sek. Men. Keb. Tengku Lela Segara dan Inspektor Nur Farah Hanim Daimin sebagai Pegawai Perhubungan Sekolah. Dalam majlis tersebut seramai 90 orang Pengawas, 39 orang Pustakawan, dan 102 orang Ketua dan Penolong Kelas telah diwatikahkan.
Berikut adalah sebahagian daripada rakaman majlis tersebut

Comments